Dato Dr Nazri Khan
Share This
Scroll Down
//Pecahkan Monopoli, Selamatkan Demokrasi

Pecahkan Monopoli, Selamatkan Demokrasi

January 4, 2019Category : Blog

Share This

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, saya pernah menulis di ruangan ini bahawa tiada sebarang perubahan drastik akan berlaku terhadap ekonomi negara walau parti mana pun yang memenangi PRU14.

Ternyata jangkaan saya itu tidak tersasar jauh. Selepas hampir setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, kita dapat melihat banyak dasar-dasar ekonomi sebelum ini diteruskan atau ditambah baik tanpa melibatkan rombakan besar-besaran terhadap sistem ekonomi.

Ini kerana pemimpin PH dan Barisan Nasional berkongsi pemikiran dan ideologi yang serupa dalam aspek pentadbiran ekonomi negara. Kedua-duanya memilih dasar ekonomi bertunjangkan pasaran dan bersifat terbuka terhadap pelaburan asing serta menyokong perdagangan antarabangsa.

Prinsip ekonomi yang diamalkan oleh Malaysia adalah amat baik kerana ia menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Tidak hairanlah jika Malaysia menguasai kedudukan ke-15 terbaik daripada 190 negara di dunia dalam Doing Business 2019 Report terbitan World Bank.

Malaysia juga berada pada kedudukan ke-25 daripada 140 negara dalam Global Competitiveness Report 2018 yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia. Lebih membanggakan, Malaysia berada pada kedudukan teratas bagi kriteria kestabilan ekonomi makro dan ke-19 bagi dinamik perniagaan.

Ini adalah sesuatu yang amat membanggakan kerana Malaysia merupakan sebuah daripada hanya tiga negara membangun yang berada dalam kedudukan 40 teratas, mengatasi China (ke-28) dan Thailand (ke-38).

Namun saya khuatir kita terbuai dan terleka dengan pencapaian ini sehingga tidak sedar bahawa perjalanan ekonomi Malaysia adalah masih jauh dan belum tiba di destinasi yang didambakan.

Apa yang perlu dilakukan Pakatan Harapan sekarang adalah menambah baik pencapaian ini dan merancakkan lagi persaingan sihat dalam negara bagi melahirkan sebuah ekonomi matang dan benar-benar mampu memanfaatkan segenap masyarakat.

 

Mencari kesempurnaan dalam pasaran

 

Antara perubahan penting yang diperlukan oleh Malaysia dalam perjalanan menuju ke arah negara maju adalah pemodenan dan pematangan ekonomi melalui pemecahan monopoli dalam beberapa industri di negara ini.

Teori ekonomi menganggap persaingan yang sempurna adalah apabila terdapat banyak penjual dan pembeli; harga barangan menggambarkan penawaran dan permintaan; dan tiada penjual yang mampu mempengaruhi harga jualan.

Dalam dunia sebenar, tentu sekali ini amat sukar untuk berlaku kerana tidak semua orang boleh menceburi bidang seperti import beras, penyiaran menggunakan satelit, telekomunikasi atau utiliti kerana kos yang tinggi. Namun sekurang-kurangnya kerajaan perlu membuka peluang kepada mana-mana pihak lain untuk menyertai pasaran-pasaran tersebut dan bersaing dengan sihat.

Setakat ini, tindakan pantas kerajaan PH menyemak semula monopoli di negara ini amat dialu-alukan. Dalam tempoh tujuh bulan sahaja, kerajaan baharu ini telah mengumumkan penamatan monopoli import beras dan import gula serta semakan semula terhadap monopoli yang wujud dalam perolehan kerajaan, penyiaran berasaskan satelit dan bekalan ubat-ubatan.

Tanyalah mana-mana pakar ekonomi, tiada yang bersetuju dengan kewujudan monopoli kerana ia mempunyai lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Pertama, syarikat yang merupakan monopoli dalam sesuatu industri tidak mempunyai insentif untuk merendahkan harga barangan mereka atau meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kerana mereka tidak ada pesaing. Mahu atau tidak, rakyat terpaksa menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat ini dan mendatangkan kerugian kepada rakyat.

Kedua, monopoli oleh sekumpulan kecil syarikat dalam sesuatu industri menggalakkan tipuan bida atau bid rigging bagi memenangi tender kerajaan. Syarikat-syarikat ini akan berpakat sesama sendiri untuk menentukan pemenang dan harga tender yang selalunya lebih tinggi daripada harga sepatutnya. Ini sukar dilakukan jika sesebuah industri itu mempunyai lebih ramai pemain. Tipuan bida akan mengakibatkan kerugian besar kepada kerajaan. Ini kerana perolehan kerajaan merangkumi 15 – 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, seperti yang dibentangkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas pada Oktober lalu.

Ketiga, kewujudan monopoli hanya menguntungkan pemilik dan pemegang saham terbesar syarikat tetapi merugikan pekerja. Selama ini kita sering dimomokkan dengan pendapat bahawa pertumbuhan gaji pekerja adalah perlahan kerana persaingan oleh buruh murah daripada negara asing dan automasi dalam pengeluaran. Namun, beberapa kajian di Amerika Syarikat membuktikan punca pertumbuhan gaji yang perlahan ini adalah kewujudan monopoli. Syarikat gergasi yang menguasai industri sering menetapkan tahap gaji yang rendah dan menyekat kenaikan gaji.

 

Monopoli bukan sekadar isu ekonomi

 

Keempat, monopoli merupakan antara punca utama jenayah penyeludupan dan peningkatan perbelanjaan penguatkuasaan. Contohnya, monopoli import beras menyebabkan harga beras yang dijual di Malaysia lebih tinggi berbanding di negara jiran Thailand. Ini menggalakkan penyeludupan beras dari Thailand ke Malaysia. Kerajaan sebelum ini tidak melihat monopoli sebagai punca jenayah penyeludupan sebaliknya membelanjakan lebih banyak wang untuk mengatasi penyeludupan melalui pembinaan infrastruktur seperti tembok keselamatan dan penempatan lebih ramai penguatkuasa di sempadan.

Kelima, jika dikaji dari sudut sejarah, monopoli bukan hanya menjejaskan pertumbuhan ekonomi malah memberi ancaman terhadap sistem politik demokrasi yang diamalkan di kebanyakan negara. Contohnya, struktur ekonomi Jerman yang didominasi syarikat monopoli dan kartel dalam industri getah, besi, arang batu dan bahan mentah lain pada awal kurun ke-20 merupakan ramuan penting yang membantu pengukuhan kuasa pemimpin diktator Nazi, Adolf Hitler sehingga menjerumuskan dunia ke dalam peperangan besar.

Selepas kejatuhan Nazi, Tentera Bersekutu memecahkan monopoli di Jerman khusus untuk mengelakkan daripada ia digunakan sebagai alat serangan politik atau ekonomi. Pada 1950, Amerika Syarikat (AS) sendiri menggubal Undang-Undang Antipenggabungan untuk menghalang kewujudan kuasa politik dan ekonomi yang keterlaluan di AS.

Tentu sekali monopoli bukanlah satu-satunya punca kepada kewujudan pemerintahan ala Nazi namun penguasaan ekonomi yang berlebihan oleh segelintir syarikat monopoli dalam industri-industri penting menawarkan persekitaran yang sesuai untuk pembentukan pemerintahan diktator.

Hakikat inilah yang paling kurang dibincangkan atau sengaja dielakkan apabila kita bercakap mengenai kesan monopoli kepada negara.

 

Malaysia masih perlukan monopoli?

 

Ada pihak yang berpandangan bahawa sebagai negara membangun, kita memerlukan monopoli untuk membantu pertumbuhan ekonomi dan juga bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan kritikal seperti tenaga, telekomunikasi dan air.

Bagi saya, adalah lebih baik jika lebih banyak syarikat terlibat dalam industri-industri ini kerana dapat mengurangkan kebergantungan terhadap satu dua syarikat sahaja dan merendahkan pelbagai risiko yang berkaitan dengannya.

Malah, monopoli di Malaysia hari ini telah tersasar daripada matlamat asalnya iaitu untuk melindungi kepentingan negara dan menggalakkan keusahawanan dalam kalangan Bumiputera. Sebaliknya, ia kini lebih kepada melindungi kepentingan peribadi pihak-pihak yang terlibat.

Jadi, usaha untuk memecahkan monopoli perlu kekal menjadi agenda utama kerajaan PH kerana ia bukan sahaja membantutkan ekonomi negara malah mengancam amalan demokrasi yang diperjuangkan selama ini.

Kira-kira 100 tahun lalu, Hakim Mahkamah Agung AS, Louis Brandeis yang juga pejuang antimonopoli pernah berkata “kita perlu memilih sama ada kita mahu demokrasi atau kita mahu kekayaan negara dimiliki oleh segelintir orang sahaja tetapi kita tidak boleh pilih kedua-duanya sekali.”

Apa pilihan Malaysia?

Share This

  • 0 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hubungi

F-1-1, Block F Encorp DeStrand The Garden Office,
Jalan PJU 5/1, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor.

Office: +603 614 46111
Hotline: +6014 669 8307 , +6014 669 8327

Categories

Hubungi
Close