Dato Dr Nazri Khan
Share This
//‘Ramalan ini bukanlah omong kosong.’ – Ekonomi adalah seni meramal masa depan. Bila diramai ini sebabnya…

‘Ramalan ini bukanlah omong kosong.’ – Ekonomi adalah seni meramal masa depan. Bila diramai ini sebabnya…

Share This

MERAMAL DAN BERAMAL

Ekonomi adalah seni meramal masa depan. Setiap kali kita berada di penghujung tahun atau di permulaan tahun baru, ramai pakar ekonomi akan mengeluarkan ramalan mengenai keadaan ekonomi negara atau dunia pada tahun tersebut.

 

 

Ramalan ini bukanlah omong kosong yang dibuat selepas melihat ke dalam mangkuk berisi air seperti dalam filem Nujum Pak Belalang.

Sebaliknya, banyak faktor dan aspek telah diambil kira sebelum ramalan ekonomi dikeluarkan. Data mengenai perbelanjaan rakyat dan kerajaan, pelaburan, import serta eksport diadun sehingga sebati bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung ekonomi negara.

Corak perubahan ekonomi antarabangsa dan landskap geopolitik dunia turut menjadi antara ramuan penting yang diperlukan seseorang pakar ekonomi untuk memberikan pandangannya mengenai kedudukan ekonomi sesebuah negara.

Mengapa kita perlu membuat ramalan ekonomi?

Tujuan utamanya adalah bagi menyediakan jangkaan berasas untuk lebih memahami apa yang akan berlaku pada masa akan datang dan sedikit sebanyak membolehkan negara merancang halatuju ekonomi dari tahun ke tahun.

Kebolehramalan ini dapat membina keyakinan dan memberikan kepastian dalam ekonomi. Kerajaan, syarikat-syarikat serta rakyat mampu membuat keputusan dengan lebih berkesan apabila mereka dihidangkan dengan ramalan ekonomi. Tindak balas sewajarnya daripada semua pihak terhadap ramalan yang dibuat akan memastikan ekonomi negara tidak tergelincir daripada landasan.

Namun apa gunanya ilmu ramalan ekonomi ini jika kita tidak mengamalkannya? Inilah yang saya khuatiri apabila kebanyakan rakyat Malaysia dilihat kurang mengendahkan perkembangan ekonomi semasa dan tidak menjadikannya sebagai salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat sesuatu keputusan dalam kehidupan, terutama yang melibatkan kewangan mereka.

Kesedaran yang rendah dalam hal ini mungkin disebabkan kurangnya pendidikan ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia sama ada secara formal atau informal.

Contohnya, berita-berita dan laporan ekonomi sering menyebut apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan sesebuah negara untuk menghadapi kemerosotan ekonomi. Jarang benar kita dengar atau lihat berita yang menekankan tindakan yang perlu diambil oleh rakyat apabila negara berdepan dengan risiko kegawatan.

Pada permulaan tahun 2019 ini, kita dapat lihat pelbagai ramalan dibuat mengenai keadaan ekonomi negara.

Malangnya, rata-rata pakar ekonomi sama ada dari dalam atau luar negara telah membuat kesimpulan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka sedikit perlahan pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Bank Dunia meramalkan ekonomi Malaysia akan tumbuh pada kadar 4.7 peratus tahun ini, berbanding 4.9 peratus yang diramalkan institusi antarabangsa itu untuk tahun 2018. Trend menurun ini akan berterusan apabila kadar ekonomi Malaysia dijangkakan sebanyak 4.6 peratus pada 2020.

Menurut Bank Dunia, jangkaan kadar pertumbuhan yang lebih rendah itu diperolehi selepas mengambil kira pembatalan beberapa projek mega di Malaysia yang menyebabkan nilai pelaburan menurun, iaitu salah satu komponen utama dalam pengiraan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar. Selain itu, eksport negara juga dijangka lebih rendah pada tahun ini.

Sama seperti di Malaysia, pertumbuhan ekonomi dunia juga diramalkan lebih malap pada 2019 dengan faktor utamanya adalah perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China. Majoriti daripada hampir 150 pakar ekonomi yang terlibat dalam satu tinjauan oleh agensi berita kewangan Reuters baru-baru ini percaya bahawa ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara AS dan China akan menjadi pencetus utama kegawatan ekonomi di peringkat global.

Peningkatan kadar faedah oleh Bank Pusat AS juga menjadi igauan buruk kepada negara-negara membangun termasuk Malaysia.

Selain daripada faktor-faktor di atas, banyak lagi petunjuk-petunjuk yang memberi gambaran bahawa ekonomi dunia dan Malaysia akan ‘jatuh sakit’ pada tahun ini. Namun saya yakin kebanyakan rakyat kita tidak sedar akan hakikat ini, apatah lagi mempersiapkan diri untuk berdepan dengan kelembapan ekonomi.

Ini kerana apabila berbicara mengenai hal ehwal ekonomi, kita tidak dapat lari daripada memetik pelbagai jenis statistik. Apabila melihat ekonomi dari sudut makro, kita akan dihidangkan dengan nombor-nombor dan graf di atas kertas.

Justeru, rakyat berasa ‘jauh’ daripada berita-berita ekonomi dan kewangan dan kurang berminat untuk mengambil tahu. Disebabkan itulah saya lebih suka melihat ekonomi dari perspektif ‘jalanan’ iaitu kesannya kepada setiap individu kerana ia lebih mudah diterangkan kepada rakyat biasa.

Contohnya, penguncupan ekonomi sebanyak 0.1 peratus mungkin kelihatan tidak begitu signifikan di atas kertas terutama kepada mereka yang tidak berkecimpung dalam bidang ekonomi atau kewangan.

Sedangkan nilai 0.1 peratus itu akan memberi kesan secara langsung kepada puluhan ribu pekerja di negara ini terutamanya dalam sektor swasta. Apabila petunjuk ekonomi merosot, ia selalunya disebabkan oleh pengeluaran domestik yang berkurangan. Ini merupakan amaran awal bahawa ada syarikat yang akan mengurangkan operasi atau menggulung tikar dan ribuan orang akan kehilangan punca pendapatan.

Oleh itu, pemikiran bahawa hanya kerajaan yang perlu bersedia untuk berdepan dengan kegawatan ekonomi perlu diubah.

Jika rakyat kita celik ekonomi, mereka dapat membuat persediaan awal apabila terdapat petunjuk bahawa ekonomi negara akan semakin merosot atau dunia akan berdepan kegawatan, seperti yang diramalkan akan berlaku pada tahun ini atau tahun hadapan.

Rakyat perlu tahu bahawa ekonomi mempunyai satu kitaran turun naik yang berlaku secara berulang kali. Rakyat juga perlu diberitahu bahawa tempoh bagi setiap kitaran ini adalah berbeza dan tahap pengembangan serta penguncupan ekonomi juga tidak sama setiap kali ia berlaku.

Rakyat mesti dididik untuk mempunyai wang simpanan kecemasan yang mencukupi bagi menghadapi kegawatan ekonomi, selain mempelbagaikan pelaburan, mencari kerja sampingan dan mengurangkan perbelanjaan harian.

Ini bermakna rakyat perlu memahami ramalan ekonomi supaya mereka mampu membuat keputusan yang betul. Inilah yang saya maksudkan dengan meramal dan beramal.

Namun ramalan ekonomi ada hadnya. Ia bukanlah sains yang mudah kerana turut melibatkan kajian terhadap tingkah laku manusia.

Secara analoginya, ahli ekonomi hanya mampu mengenalpasti laluan yang perlu kita gunakan untuk sesuatu perjalanan dan meramal berapa lama tempoh perjalanan tersebut selepas mengambil kira faktor cuaca, keadaan jalan raya dan prestasi kenderaan.

Namun tentu sekali mereka tidak boleh memberi kepastian sama ada akan berlaku sesuatu di luar jangkaan seperti banjir, jambatan runtuh atau kerosakan kenderaan.

Apa pun, adalah lebih baik kita mempersiapkan diri untuk memahami laluan yang akan ditempuhi supaya kebarangkalian untuk kita tiba di destinasi dengan selamat adalah lebih tinggi.

Share This

  • 1 Comment
1 thought on “‘Ramalan ini bukanlah omong kosong.’ – Ekonomi adalah seni meramal masa depan. Bila diramai ini sebabnya…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hubungi

F-1-1, Block F Encorp DeStrand The Garden Office,
Jalan PJU 5/1, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor.

Office: +603 614 46111
Hotline: +6014 669 8307 , +6014 669 8327

Categories

Hubungi
Close