Faktor Umur Bukan Penghalang. Nak Atau Tak Nak Je.

Kalau tanya kepada penasihat kewangan, saya yakin 99.9 peratus daripada mereka akan cakap kita kena mula menyimpan atau melabur masa kita muda. Habis kalau dah tua baru nak mula melabur, macam mana?

Ya lah, masa muda mana ada banyak duit untuk melabur, masa itu lah nak beli kereta pertama, rumah pertama, nak kahwin, nak besarkan anak-anak. Semua itu perlukan duit yang banyak. Duit pun kadang-kadang cukup-cukup makan saja, mana pula nak dapat duit lebih untuk menyimpan atau melabur? Itulah hakikat kehidupan yang susah untuk kita elakkan.

Tapi apabila umur dah semakin veteran, barulah selesa sikit dengan ada duit lebih untuk disimpan atau dilaburkan. Soalannya, masih sempat atau tidak untuk melabur bila umur dah semakin senja, apatah lagi kalau dah dekat nak pencen?

Di sinilah kecantikan pasaran saham. Kalau kebanyakan pelaburan lain perlukan jangka masa panjang sehingga 10 atau 20 tahun untuk dapatkan pulangan banyak, pasaran saham lain pula ceritanya. Hari ini beli, untung-untung tahun depan dah boleh jual untuk dapatkan keuntungan. Ada yang beli hari ini, jual dalam tempoh tiga bulan pun dah untung besar.

Terlalu banyak contoh saham yang nilainya naik tinggi dalam tempoh singkat. Saham syarikat pengeluar pakaian sukan Adidas naik 56 peratus sepanjang 2016. Siapa nak bagi pulangan 56 peratus kalau kita melabur dalam amanah saham atau pelaburan lain? Kalau beli rumah pun, harga rumah tak lah naik sampai 56 peratus dalam tempoh setahun betul tak? Satu lagi produk yang memang popular dalam kalangan wanita ialah kosmetik keluaran Avon. Tahu tak saham Avon naik 117 peratus dalam tempoh setahun?

Macam saya pernah katakan sebelum ini, pelaburan saham sesuai untuk jangka masa panjang atau jangka masa pendek, bergantung kepada saham yang kita pilih. Kalau kita mula melabur agak lewat, kita boleh pilih saham yang boleh berikan pulangan dalam jangka masa pendek antara tiga hingga lima tahun.

Satu kelebihan pelabur berusia matang ini ialah mereka bijak dan sabar dalam menentukan saham yang ingin dibeli atau dijual berbanding orang muda. Mereka juga ada simpanan yang lebih banyak termasuk wang pencen jadi mereka boleh melabur dalam lebih banyak saham. Saham yang dipilih mestilah daripada pelbagai industri berbeza untuk memastikan kepelbagaian portfolio, iaitu salah satu perkara paling penting dalam pelaburan.

Jadi kalau tanya saya, memang saya kata tak ada had umur untuk mula melabur. Walaupun esok kita nak bersara, hari ini pergi beli saham. Tiada istilah terlambat dalam pelaburan. Mulakan langkah pertama hari ini. Jangan nanti lima tahun lagi kita tengok ke belakang dan masih berkata ‘Kan bagus kalau aku dah mula melabur lima tahun lepas’.

Orang kata, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tapi janganlah kita tenggelamkan diri sendiri dengan memilih saham yang salah. Saya selalu tekankan, nak main saham ini bukan perlu ada banyak duit, tapi perlu ada ilmu. Dengan ilmu yang betul, duit sikit pun boleh jadi banyak. Tapi kalau tak ada ilmu, duit banyak mana pun tak dapat ‘beli’ keuntungan. Sertai seminar saya, insya-ALLAH saya akan kongsi lebih banyak cerita. Layari www.pelaburglobal.com untuk maklumat lanjut.